Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Tuesday 30 September 2008

Renungan untuk semua {Artikel 2}

Kita Zuriat Adam, Bukan Zuriat Iblis
Posted on Sep 28, 2008 under Akidah

Allah mengulangi kisah Adam dan Iblis di beberapa tempat dalam al-Quran. Barangkali bagi mereka yang kurang memahami al-Quran akan menganggap itu adalah pengulangan biasa yang tidak memberikan apa-apa impak yang berlainan. Sebenarnya, sudah pasti tidak!
Al-Quran adalah kitab yang tersusun dengan segala mukjizat yang membuktikan kebesaran Allah Yang Menurunkannya. Pengulangan cerita itu disebabkan faktor-faktor tersendiri yang menuntut kisah Adam dan Iblis itu dibangkitkan semula. Kisah tersebut adalah tonggak panduan kepada kehidupan manusia atas muka bumi ini.

Kisah Adam dan Iblis diketahui oleh semua muslim, bahkan ia juga terkandung dalam Bible. Ringkas ceritanya Iblis yang enggan memberikan penghormatan kepada Adam seperti mana yang Allah perintahkan. Bahkan dia mempertikaikan arahan tersebut. Lantas dia dihukum kufur dan dilaknat.

Sementara Adam yang ditempatkan di syurga, kemudiannya telah ditipu oleh Iblis yang menyebabkan dia melanggar arahan Allah agar jangan mendekati pokok larangan. Kesannya, dia dihukum dengan ditempatkannya di atas muka bumi namun disertai dengan keampunan dan rahmat Allah.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 34-37:
(maksudnya) Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”, lalu mereka semua tunduk melainkan Iblis; dia enggan dan takbur, dan menjadilah dia daripada golongan yang kafir. Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah daripada makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu daripada golongan zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! sebahagian kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”. Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

Pada mereka yang tidak faham kisah ini mungkin menganggap adanya ‘double standard’ dalam hukuman Tuhan terhadap dua makhluknya yang berbeza. Setiap mereka telah melakukan satu kesalahan, tetapi yang satu dihukum begitu berat sehingga kiamat, sementara satu yang lain dihukum dengan hukuman yang tidak kelihatan terlalu berat, bahkan diampun dan dirahmati.
Sekali pandang tanpa penelitian, mungkin ada yang tersalah anggap, seakan Iblis memang sengaja hendak dihukum demikian rupa, sedangkan Adam pula diampunkan, padahal sama-sama melakukan satu kesalahan.

Sebenarnya tidak! Sama sekali tidak sama antara kesalahan Iblis dan Adam. Iblis menderhakai Allah atas kesombongan dan ketakaburan. Dia bukan sahaja tidak taat kepada arahan Allah, tetapi dia mencabar peraturan atau hukum yang telah Allah tetapkan. Dia menganggap hukum itu tidak wajar, sekaligus dia mencabar kemutlakan hak Allah dalam menetapkan hukum.
Sementara Adam melakukan penderhakaan disebabkan kecuaian, kesilapan dan mengikut perasaan sehingga melupai hukum. Dalam Surah al-A’raf, Allah menceritakan bagaimana jawapan Iblis terhadap penderhakaannya, firman Allah: (maksudnya):
“Apakah yang menghalangmu untuk sujud ketika Aku perintahkanmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku daripada api, sedangkan dia Engkau jadikan dari tanah”. (ayat 12).

Namun Adam yang juga bersalah tidak pernah mencabar peraturan Allah. Adam tidak pernah menyatakan bahawa kewujudan pokok berkenaan di syurga amat tidak sesuai dan boleh mengelirukan maka dia tidak patut dianggap bersalah. Tidak pula Adam mempertikaikan mengapa Iblis itu diwujudkan dan diberi peluang menggodanya.

Sebaliknya, dengan penuh keinsafan dan perasaan kehambaan akur atas kesalahan diri lantas memohon keampunan dan taubat. Dalam Surah al-A’raf juga Allah menyebut: (maksudnya)
“Dengan sebab itu dapatlah dia (Iblis) menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (daripada) syurga lantas Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?” Mereka berdua berkata: “Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalaulah Engkau tidak mengampunkan kami dan kasihani kami, nescaya kami tergolong daripada orang-orang yang rugi”. (ayat 22-23).

Kesalahan memang kesalahan. Namun titik tolak kesalahan dan sikap atas kesalahan amat berbeza antara Iblis dan Adam. Iblis bukan sahaja menderhaka, bahkan mempertikaikan atau meremehkan peraturan Allah.

Sedangkan Adam dan isterinya, apabila melakukan dosa, menginsafi diri dan memohon keampunan Allah atas dosa tersebut. Justeru itu, hukuman Allah ke atas dua makhluknya tersebut tidak sama disebabkan perbezaan nilai kesalahan, bukan kerana Tuhan itu menghukum secara ‘double standard’.

Kisah Iblis dan Adam diulang berkali-kali dalam al-Quran agar kita mengambil pengajaran dalam kehidupan. Setiap ulangan ada isu dan pengajarannya yang tersendiri. Kita seperti bapa kita Adam, terdedah kepada salah dan silap, cuai dan alpa yang akhirnya menjerumuskan kita ke dalam dosa.

Namun, seperti mana bapa kita Adam, kita tidak akan mempertikaikan hukum atau peraturan yang Allah tetapkan. Kita akui kelemahan diri, tanpa kita menghalalkan kesalahan dan dosa dengan alasan yang menunjukkan kita meremehkan hukum Tuhan.

Kita bukan Iblis yang apabila berdosa bersikap takabur dan enggan akur atas kelemahan diri, sebaliknya menuding sesalahan kepada peraturan yang Allah tetapkan. Sesiapa yang bertindak seperti Iblis, maka dia menjadi kafir. Sementara sesiapa yang bersikap seperti Adam, maka dia mendapat keampunan tuhannya.

Allah menceritakan kisah bapa kita Adam, agar kita mencontohinya apabila melakukan kesalahan. Melakukan kesalahan bukan perkara yang paling menimbulkan kemurkaan Allah, tetapi enggan akur dan bertaubat itulah membawa kemurkaan besar di sisiNya.

Kita anak Adam, teladani sikap bapa kita. Sabda Nabi s.a.w.
“Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).
Kisah Adam dan Iblis menjadi paksi dalam banyak episod kehidupan insan. Sebab itu dalam Islam sesiapa yang membuat dosa dan menghalalkan tindakannya maka dia menjadi kafir. Sementara sesiapa yang membuat dosa namun tidak menghalalkannya maka dia dianggap sebagai seorang fasiq (ahli dosa), namun tidak membawa kepada kufur. Melainkan jika dia bertaubat.

Ini seperti sesiapa yang tidak berpuasa Ramadan tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak, maka dia berdosa dan menjadi fasik. Namun jika dia menghalalkan perbuatannya itu seperti menyatakan ‘bagi aku tidak salah jika aku tidak berpuasa pun’, atau dia mempertikaikan hukum seperti dia menyatakan ‘syariat puasa itu tidak sesuai atau tidak ada sebarang faedah untuk kita ikut’ maka dia menjadi kafir, terkeluar dari Islam. Ini kerana dia mempertikaikan atau mencabar Allah Yang Maha Agung.

Perbuatan yang seperti itulah yang dilakukan oleh Iblis lalu dihukum kufur oleh Allah. Sama juga dengan pelaku dosa. Jika seseorang berzina maka dia berdosa dan fasiq (fasik). Namun, jika menghalalkan perbuatan zina seperti menyatakan ‘apa salahnya jika suka sama suka’, atau dia menyatakan ‘jika pasangan dah rela, mana boleh berdosa’, atau menyebut ‘zina macam sedekah, jika orang bagi tidak salah kita mengambilnya’ maka pengucap ungkapan-ungkapan yang seperti ini terkeluar dari Islam. Ini kerana dia telah mempertikaikan hukum Allah dan mencabar apa yang telah ditetapkanNya.

Dia seperti Iblis, yang mempertikaikan arahan Allah. Melainkan jika dia hilang akal atau gila atau apa sahaja yang menunjukkan dia tidak bermaksud mempertikaikan, atau meremehkan hukum Allah sama sekali

Saya amatlah terkejut apabila ada ‘orang politik’ yang sanggup menyamakan zina yang dia akui melakukannya dengan sedekah yang disuruh oleh Islam. Sanggup dia menghalalkan perbuatannya yang buruk itu atas alasan dia diumpan oleh orang lain, maka itu baginya macam sedekah yang jika ‘diberi boleh diambil’.

Alangkah buruk perbuatan dan akidahnya. Dia samakan perkara yang Allah murka dengan perkara yang Allah suka. Apa yang lebih pelik, tidak pula kedengaran dengan jelas tokoh-tokoh agama dalam kem politik ‘si celupar itu’ mengulas perkara ini. Padahal ramai di kalangan mereka yang begitu tangkas dan cepat bertindak jika ada ucapan-ucapan yang menyalahi agama dibuat oleh musuh-musuh politik mereka.

Bahkan ucapan yang masih lagi samar dan boleh diberi maksud yang berbagai pun dibantai sampai tidak cukup tanah. Tiba-tiba apabila kena giliran sahabat sendiri yang mengucapkan perkataan yang buruk lagi parah itu, ramai yang menyepi diri. Tiada yang berani menyuruh dia bertaubat dan menarik balik secara terbuka, bukan menyuruh orang lain ‘berbahasa’ untuknya.
Di mana isu-isu agama dan moral yang diperkatakan selama ini? Ternyata, hukuman politik berbau agama tidak sama dengan pendirian agama mengenai isu politik. Bukan saya ingin bermusuh dengan sesiapa. Kolum saya ini telah mengambil risiko menegur rakyat dan pemerintah. Apakah mereka hanya dapat terima apabila saya menegur pemerintah, tetapi membantah jika mereka ditegur? Atau apakah mereka hanya berani menegur pemerintah dan mendiamkan diri apabila kesalahan itu dibuat oleh ‘geng sendiri’?.

Sabda Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya yang membinasakan mereka yang terdahulu dari kamu adalah; apabila orang yang berkedudukan mencuri maka mereka biarkan, jika orang yang lemah mencuri maka mereka laksanakan hukuman ke atasnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Berbalik kepada kisah Adam dan Iblis. Kisah ini menjadi teras dalam akidah Islam. Islam agama yang akur bahawa insan sentiasa terdedah kepada dosa dan kesalahan. Selagi mana insan insaf bahawa kesalahan itu berpunca daripada kelemahan dirinya sendiri, dia mempunyai ruang untuk kembali dan bertaubat kepada Allah.

Namun apabila insan yang melakukan dosa itu sombong dan bongkak dengan merasakan dia tidak bersalah atas perbuatannya, maka tempatnya bersama dengan Iblis yang menghuni tetap neraka yang amat dahsyat. Firman Allah dalam Surah Sad:
(maksudnya) (setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, -Melainkan Iblis; dia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah dia dari golongan yang kafir. Allah berfirman: “Hai lblis! apa yang menghalangmu dari turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi? Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripadanya; Engkau (Wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”. Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana eesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir. dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatKu terus menerus hingga ke hari kiamat!”. Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat) “. Allah berfirman: ” Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh, hingga ke hari yang termaklum “. Iblis berkata: “Demi kekuasaanmu (Wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu (zuriat Adam) yang dibersihkan”. Allah berfirman: “Maka Akulah Tuhan Yang sebenar-benarnya, dan hanya perkara Yang benar Aku firmankan -Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu daripada zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya “. (ayat 73-85).

Setiap kita ini ada kelemahan diri dan kesalahan yang kita lakukan. Namun sebagai insan yang merupakan zuriat Adam, kita sentiasa akur atas kelemahan dan kesalahan, inginkan keampunan serta memohon kemaafan Tuhan selalu. Kita tidak akan mempertikaikan apa yang telah Allah nyatakan dalam kitabNya al-Quran atau dalam sunnah yang sahih daripada Nabi Muhammad s.a.w.

Jika kita gagal melaksanakan perintah Allah, atau melanggar larangannya kita akan akui kelemahan diri, memohon agar dikurniakan taubat yang ikhlas. Sama sekali kita tidak kata hukum Allah tidak baik. Atau tidak sesuai. Atau halal dan haram itu sama sahaja. Atau, bagiku perkara yang Allah haramku itu tidak haram. Tidak! Sama sekali tidak! Hanya pengikut Iblis yang mengucapkan seperti itu. Kita akan menyebut apa yang Allah ajar:(maksudnya)
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. (Surah al-Baqarah, ayat 286).

taken from >> here

Monday 29 September 2008

Renungan untuk semua {Artikel 1}

Jangan Salahgunakan Agama Untuk Kepentingan
Posted on Sep 21, 2008 under Ibadat

Islam adalah matlamat yang dituju, bukan alat yang dipergunakan. Malangnya dalam masyarakat hari ini, banyak keadaan menunjukkan Islam itu tidak lebih daripada alat yang dipergunakan. Islam dipergunakan untuk keuntungan peribadi, perniagaan, politik dan lain-lain. Islam diperlakukan oleh sesetengah pihak bagai pelaris jualan.

Atau Islam dibuat bagaikan saluran media untuk mengiklan barang. Islam ditampal dalam aktiviti kehidupan sesetengah pihak bukan kerana kecintaan kepada Islam, tetapi kerana itu boleh mempengaruhi orang ramai. Ini samalah dengan seorang tuan kedai yang menggantungkan ayat-ayat al-Quran di dinding kedainya untuk menarik perhatian pelanggan semata.

Padahal dia tidak pun berpegang kepada isi kandungan ayat yang digantung. Islam yang menuntut agar bersih dan jujur dalam perniagaan, tidak pun dilakukannya. Bahkan lebih teruk lagi, mungkin dia tidak bersolat, berpuasa dan perkara-perkara asas yang lain sebagai seorang muslim.

Namun dinding kedainya dipenuhi ayat al-Quran. Maka ayat al-Quran itu bukan pegangan hidupnya, tetapi alat yang dipergunakan untuk kepentingan dirinya. Bukan sedikit orang yang seperti tuan kedai itu dalam masyarakat kita. Mungkin bidang kepentingan dan caranya berbeza-beza, tetapi perbuatan mengeksploitasikan agama itu adalah sama.

Ustaz Produk

Saya amat tidak bersetuju apabila produk-produk yang melantik penceramah-penceramah agama sebagai duta produk mereka. Maka para penceramah ini akan berceramah ke sana sini menggunakan nas-nas agama itu dan ini untuk dikaitkan dengan produk yang dia didutakan.
Jadilah agama mainan ‘golongan peniaga’ dalam mempengaruhi orang awam. Hadis-hadis yang entah daripada mana asalnya, atau yang tidak sahih dikeluarkan untuk melariskan produk. Orang awam yang jahil akan terpengaruh.

Kadang-kala nas yang digunakan itu benar, tetapi dieksploitasikan. Umpamanya al-Quran memang menyebut tentang kelebihan madu seperti firman Allah:
(maksudnya)
“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah peraturan Tuhanmu yang dimudahkannya kepadamu”. (dengan itu) akan keluarlah daripada perutnya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda bagi orang-orang yang mahu berfikir. (Surah al-Nahl: ayat 68-69).

Ayat ini adalah umum, tidak dikaitkan dengan mana-mana produk tertentu. Maka janganlah digunakannya untuk dikhususkan kepada syarikat tertentu, padahal sudah ribuan tahun manusia meminum madu dan menikmati manfaatnya, sebelum syarikat-syarikat hari ini wujud.

Namun, apabila lidah penceramah agama berkempen untuk produk tertentu, maka jelaslah bahawa dia telah mengeksploitasikan agama untuk memajukan poketnya, bukan mendaulatkan agamanya. Jika dia ingin berkempen orang ramai meminum madu, silakan. Ayat tadi pun berkempen untuk itu. Tetapi hendaklah secara umum, bukan berkepentingan.

Daerah dakwah itu hendaklah menjadi daerah yang bersih dari kepentingan peribadi. Masalahnya, apabila masyarakat kita ada ramai penceramah yang bermodalkan agama, kurang pula yang menjadikan agama adalah matlamat dalam dakwah, maka beginilah jadinya.

Sebab itu barangkali, Nabi s.a.w membersih masjid dari sebarang perniagaan, seperti sabda baginda s.a.w:
“Jika kamu melihat seseorang menjual atau membeli di masjid, maka katakanlah: Allah tidak akan menguntungkan perniagaanmu.” (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).

Lelong Pahala

Seperti biasa, apabila datang bulan puasa, atau ada kematian, akan ada pihak membuat duit dengan mendakwa mereka boleh menghasilkan pahala berbayar yang akan ekspot kepada si mati ke alam barzakh. Ini dengan cara membayar wang kepada mereka yang berzikir atau membaca al-Quran yang dipanggil ‘tahlil’ khas yang berbayar.

Maka ramailah ‘tekong’ yang melimpah luah wang pada bulan puasa ini hasil daripada tempahan pahala orang ramai yang hendak dihantar kepada kaum keluarga mereka yang telah meninggal. Pahala yang ditempah itu, kelihatannya lebih laris dari kueh dan baju raya.

Seperti mana orang kaya pada hari raya akan lebih mewah dengan kueh dan baju yang tempah, barangkali hari ini ada yang menganggap mereka juga akan begitu mewah di akhirat dengan pahala-pahala yang dibayar dan dihantar ke akhirat untuk digunakan di sana bagi mendapatkan syurga.

Maka, barangkali ramailah yang akan menganggap nanti bahawa mereka tidak perlu banyak amalan untuk masuk syurga, tetapi perlu banyak duit kerena pahala boleh dibeli di dunia dan dikirim ke sana. Sehingga yang terbaru pahala itu boleh ditempah secara online.

Malangnya, oleh kerana yang berniaga pahala ini terdiri daripada kalangan golongan agama, maka banyaklah pula nas-nas yang dieksploitasikan untuk memastikan perniagaan pahala itu berjalan lancar. Digunakan kenyataan ulama dahulu dan sekarang sehingga orang ramai yang jahil tidak dapat membezakan antara maksud sebenar para ulama itu dan ‘bisnes’ mereka pada hari ini.

Ya, memang terdapat perbezaan pendapat tentang sampai ataupun tidak bacaan pahala kepada si mati. Namun, pihak yang menyatakan sampai tidak pernah membenarkan ‘menjual pahala’ kepada si mati dengan bayaran seperti yang dibuat pada hari ini.

Di sini saya petik apa yang disebut dalam kitab akidah yang terkenal dan dianggap rujukan penting kesarjanaan Islam iaitu Syarh al-Tahawiyyah oleh Ibn Abi al-Izz al-Hanafi (meninggal 792H) yang merupakan salah seorang penyokong pendapat yang menyatakan bacaan al-Quran sampai kepada si mati, katanya:
“Ulama berbeza pendapat (mengenai sampai atau tidak kepada si mati) ibadah badaniyyah; seperti puasa, solat, bacaan al-Quran dan zikir.

Pendapat Abu Hanifah dan majoriti salaf ia sampai. Apa yang masyhur dalam Mazhab al-Syafi’i dan Malik tidak sampai” (m.s 458). Seterusnya beliau menyebut:
“Adapun mengupah orang untuk membaca al-Quran dan dihadiahkan kepada si mati, ini tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun di kalangan ulama salaf. Tidak pernah disuruh atau diberi kelonggaran oleh mana-mana sarjana agung dalam agama ini. Tanpa sebarang perbezaan di kalangan ulama; mengupah untuk pahala bacaan adalah tidak dibolehkan. Apa yang mereka berbeza mengenai keharusan upah adalah dalam bab mengajar al-Quran dan yang sepertinya; di mana manfaatnya sampai kepada orang lain. Pahala tidak akan sampai kepada si mati melainkan amalan itu ikhlas kerana Allah. Perbuatan upah itu adalah tidak ikhlas. Maka tiada pahala untuk dihadiahkan kepada si mati. Maka jangan ada yang menyebut bahawa dia menyewa orang untuk berpuasa atau bersolat lalu dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Namun, jika dia memberi kepada sesiapa yang membaca al-Quran; mengajar dan belajar sebagai bantuan kepada ahli al-Quran, ini termasuk dalam sedekah, maka harus…jika dia berwasiat agar diberikan bahagian daripada hartanya kepada sesiapa yang membaca al-Quran di kuburnya, maka wasiat itu batil kerana termasuk dalam jenis upah…jika dia menentukan wakaf untuk sesiapa yang membaca al-Quran di kuburnya, maka penentuan itu batil. Namun jika dia membaca al-Quran dan menghadiahkannya secara suka rela tanpa upah, maka ia sampai kepada si mati seperti mana sampainya pahala solat dan haji (m.s. 463-464, tahqiq: Ahmad Syakir, Riyadh: Wizarah al-Syuun al-Islamiyyah).

Inilah pendapat mereka yang bersetuju menyatakan ia sampai, bukan seperti yang diekspoitasikan. Jika nak cari yang sokong ambil upah memang ada, seperti mana ustaz yang kaki hisap rokok tentu menyatakan rokok makruh, walaupun seluruh fatwa antarabangsa; ulama dan para pakar kesihatan menyatakan ia haram.

Kerana Pulus

Lebih penting daripada itu, apa yang ditegaskan oleh insan yang tidak boleh dipertikaikan ucapannya, iaitu Rasulullah s.a.w:
“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia”(Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Namun, pulus punya pasal pahala pun orang sudah jual. Mungkin jika saudagar unta leher panjang Jamal Pak Tongkol dengar, dia akan kata: “jual pahala lebih untung daripada jual unta”.

Di samping di sana terdapat ramai sarjana, termasuk al-Imam al-Syafi’i sendiri yang menganggap bacaan al-Quran tidak sampai pahalanya kepada si mati. Tokoh tafsir al-Quran yang agung, al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika menafsirkan firman Allah s.w.t dalam Surah al-Najm, ayat 39 (maksudnya):
“Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”,
beliau menyebut:
“Maksudnya, seperti mana seseorang tidak menanggung dosa orang lain, demikian dia tidak mendapat pahala melainkan apa yang diusahakannya sendiri.”Dari ayat yang mulia ini al-Imam al-Syafi’i dan sesiapa yang mengikutnya membuat kesimpulan bahawa pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati kerana itu bukan amalan dan usaha mereka. Justeru itu, Rasulullah s.a.w tidak pernah menggalak, atau menyuruh atau menunjukkan umatnya kepada perkara tersebut samada secara nas yang jelas, atau isyarat.Tidak pernah diriwayatkan seorang pun dari kalangan sahabah r.ahum yang berbuat demikian. Jika itu sesuatu yang baik, tentu mereka telah pun mendahului kita melakukannya. Bab ibadah khusus hanya terbatas dalam lingkungan nas semata, tidak boleh diubah-ubah dengan berbagai kias dan pandangan. Adapun doa dan sedekah, maka itu disepakati sampai pahala keduanya kepada si mati kerana dinaskan oleh syarak”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/328, Beirut: Muassasah al-Rayyan).
Apa yang saya risaukan, perkara ini akan memberikan gambaran yang salah orang ramai termasuk bukan muslim kepada Islam. Mereka akan menganggap syurga itu boleh dijual beli berdasarkan kekayaan dan upah dari kroni-kroni yang masih hidup. Hilanglah kehebatan nilai perjuangan dan pengorbanan para pejuang Islam yang terkorban dan dikorbankan dalam memperolehi syurga, jika pahala ke syurga itu boleh dibayar atau ditempah.

Azan

Mesej saya adalah jangan ekspoitasikan Islam untuk keuntungan. Dalam banyak hal Islam itu menjadi kabur disebabkan oleh penganutnya sendiri. Kita memang marah jika ada orang Islam atau bukan Islam yang menentang laungan azan.

Azan adalah syiar kepada Islam dan masyarakatnya. Namun, bacaan-bacaan selain azan yang dipasang dengan kuat sehingga mengganggu penduduk sekitar, tidak pernah disuruh oleh Islam. Bahkan jika ia dilaungkan seperti azan, kuat kedengaran di menara masjid, maka itu menyanggahi Islam. Ini termasuk bacaan al-Quran, selawat dan apa-apa zikir sekali pun.

Bacaan itu baik, tetapi bukan sampai mengeliru dan mengganggu orang lain. Saya pernah mendapat aduan seorang ibu yang tinggal berdekatan masjid bahawa bayinya yang kecil sering tidak dapat tidur disebabkan masjid berkenaan memasang bacaan-bacaan yang panjang dan berbagai sebelum waktu solat. Saya beritahu dia, itu bukan ajaran Islam.

Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah mengkritik hal ini, katanya:
“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan di antaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Di kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Lebih buruk jika yang dikuatkan itu ceramah-ceramah yang bersifat ‘permusuhan’ lalu dipaksa orang tidak mahu hadir mendengar dari tempikan pembesar suara.

Sebab itu bagi saya, jika orang bukan Islam membantah azan, itu satu kebiadapan yang patut diambil tindakan. Namun, jika mereka membantah perkara-perkara lain yang disalahgunakan atas nama masjid dan Islam, kita patut semak terlebih dahulu sebelum bertindak. Jangan gunakan isu agama dalam perkara yang tidak benar.

Begitu juga parti-parti politik, jangan jadikan agama sebagai ‘penghalal’ kepada tindakan. Ramai orang politik yang bertindak terlebih dahulu, lalu cari dalil agama untuk menjustifikasikannya. Bukan cari dalil agama dulu, baru bertindak.

Maka agama dalam keadaan seperti ini sering menjadi mangsa. Bak kata Kata Dr. Salah al-Khalidi:
“Sesungguhnya sebahagian manusia telah tersalah dalam hubungan mereka dengan al-Quran. Mereka memasuki alam al-Quran (menghayati al-Quran) yang luas dengan cara yang tidak betul… ada pula yang mengambil al-Quran dengan niat serta latarbelakang tertentu, juga tujuan yang hendak diperolehinya maka dia menyelewengkan jalannya, memutar belitkannya, memaksa-maksa dalil dan nas serta memayah-mayahkan ulasan untuk dijadikan alasan bagi dirinya..” (Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, Mafatih li al-Ta`amul ma`a al-Quran, m.s 90, Jordan: Dar al-Manar).

Bebaskan diri kita dari menyalahgunakan Islam!
.
taken from >> here

Sunday 28 September 2008

Resourceful Magazines

Majalah SOLUSI ani baru lagi di pasaran, cuba liat ada word ISU PERDANA. Just bought @ ground floor bookshop @ Parkson Bintang Plaza yesterday. Walaupun harganya RM11.00, tapi bila di liat ja cover dapannya tedetik jua ati utk membilak2 isi dlmnya... mun udah kulitnya sarat dgn pelbagai info yg ringkas tapi panuh dgn 'selera' hati, apa lagi isi kandungannya, gerenti meletupz punya.... hahaha...
.
Isi kandungan di dalamnya yang mempunyai 108 halaman menghidangkan isu-isu semasa (wording basar tgh2 cover dpn), fardu ain seperti tafsir, hadith, mahmudah, mazmumah, jinayat, muamalat with Q & A, munakahat with more Q & A, tauhid, maqasid syarie, i-pods (intisari pedoman dari sirah), soal jawab solat, fiqah amali, tajdid with Q & A, ibadah with Q, akhlak. Kolum lain yang turut dimuatkan seperti tinta, kembara, intipati, fizikr, kiasan, tip sihat, remaja, potensi, puisi, pelik tapi benar, pesan nenek, usahajaya, hikmah, haramain, dan banyak lagi.
.
'Menyedut' sedikit petikan di awal muka surat ;
Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (Surah Fussilat : 34)
.
TIP MENOLAK PERMUSUHAN
Maafkan, tanpa mengira pihak siapa yang benar atau salah.
Jika tidak mampu memaafkan, cepat berlalu dan diam, tanpa membalas.
Kenangkan detik-detik manis atau kebaikan yang pernah dilalui bersama dengan 'musuh' kita itu.
Muhasabah hubungan kita dengan Allah. Mungkin Allah mendidik kita melalui kerenah musuh kita itu.
Sedarlah, kita hanya hamba, penuh kekurangan dan kesalahan. Kita layak disakiti, disalahtafsirkan dan sebagainya.
.
Cover belakang skali pun tidak kurang 'uummph'nya cukup mendalam dengan larutan kata2 yg penuh makna, IQRA' & renung2kanlah ;
Dalam ranjau kehidupan kita sering berhadapan dengan jalan buntu, seolah-olah dunia ini akan kiamat. Kita diasak ke hujung jalan hingga tidak ada ruang untuk menapak walau selangkah. Kita dihimpit ke dinding hingga tidak ada ruang untuk bernafas. Tapi sebenarnya hidup kita belum berakhir. Nyawa kita belum sampai ke tenggorokan. Cuba anda lihat setiap arah ke utara, selatan, timur dan barat. Lihat setiap inci ruang di keliling anda. Mesti ada ruang dan peluang untuk meneruskan kehidupan. Mungkin untuk meneroka ke alam yang lebih luas, lebih laju dan lebih maju. Ingatlah, penamat hidup anda hanya satu, iaitu ketika Malaikatmaut memisahkan nyawa anda dari jasad. Itupun anda masih berharap menunggu untuk diiring ke satu alam lain iaitu alam akhirat yang lebih luas dan kekal abadi.
.
Seringkali penghujung jalan yang dianggap penamat,
membawa ke jalan baru yang lebih luas.
.
** I should buy another copy of this for school library as students reference. Should I? (",)
.
Majalah KONSEP yg kiut miut dlm saiz small A5 or B5 notebook ani contains lots of not-only Islamic knowledge but general info as well... Dgn muatannya yg sarat dgn info-info Islami & mudah di bawa ke mana2, harganya cuma RM6.50 saja... Kira oklah jua walaupun edisi bulan2 lapas alum ada kesempatan utk membilak2nya :P
Di antara isi2 yg termuat di dlmnya, puisi, kuliyyah, tazkirah, dalil-dalil Al-Qur'an & Hadith, tokoh Islam, catatan islami & soal jawab agama.
Majalah yg mengenengahkan 130 muka surat ani jua turut menyelitkan tokoh-tokoh, politik, personaliti, teknologi maklumat (IT), kaunseling, catatan kembara, info santai, kesihatan dan ada jua petua dapur & resipi halaman yg last2 skali.
.
Majalah GLAM Lelaki yang nampak elegan & stylo ini pula menampilkan Faizal Tahir sebagai coverfrontpage model. Tebali tia jua eventhough not in the list at 1st.... Well, this magazine is published once every 6 months if i'm not mistaken and it contains lots of coloured infO about men style life... Dari male aksesori e.g. jam tangan, kemeja, clothings, perfumes, glasses, hinggalah hairstyles, briefcase, gadgets, etc.
Apart from that, this 176 pages magazine (bigger than A4 size paper) also includes information on the latest fashion, health column, sports, business, sport, travelling destinations, wish list, personalities, local & international celebrities, music, film, read-corner etc.
Cost me around RM13.90... Fuh mcm mahal rasanya.... Apa buleh buat? Teambil udah & ampai atas mija cashier.... Udah byr barutah te-klik theres more important stuffs to buy. Can buy this magazine next time la, next trip kan ada, utamakan mana yg perlu dulu... Haha... Mana tau by next trip abis tia kana bali, nda ja? (",)

I do have 1st edition with AnuaR ZaiN as the cover frontpage model, which i bought it sometimes last year. Unfortunately i missed the 2nd edition.
.
p/s; Larutkanlah ilmu anugerah Ilahi di dada & di minda dengan semaksima mungkin. Penuhilah hidup kita yang 'secubit' ini dengan segala yang bermanfaat sebagai bekalan di alam ukhrawi yg sedang setia menanti insani.

mawardi 28092008 4.45pm

Saturday 27 September 2008

CaT oR TiGeR oR LioN? Which 1 do u prefer?

Apakah hukumnya menjual kucing seperti kucing siam, persia or kucing yang labat bulunya??

Menurut Yusuf Al-Ardibili di dalam Al-Anwar li Al-A-'mal Al-Abrar 1/213-214, mengatakan, "SAH jual beli binatang ternakan, kuda, baghal, keldai, kijang, anak kijang, burung helang (bazah), rajawali, gajah, harimau bintang, monyet, kucing, merpati, burung-burung, lintah, ulat sutera, binatang yang gunanya untuk hiburan kerana warnanya seperti burung merak, atau kerana suaranya seperti zurzur (burung tiung), 'andalib (bulbul / murai) dan burung kakak tua."
Berdasarkan nash kitab Al-Anwar di atas adalah SAH diperjualbelikan kucing peliharaan, tetapi bukan kucing hutan atau kucing liar.
.
Sebagaimana dalam rukun & syarat-syarat jualbeli, salah satu syarat sah jualbeli = barang yang dijual hendaklah dapat dimanfaatkan atau ada manfaatnya pada syara'. Tidak sah memperjualbelikan barang yang tidak berguna dengan sebab terlalu sedikit seperti sebiji atau dua biji gandum, kismis dsb yang tidak bernilai pada kebiasaannya. Termasuk menjual barang yang tidak ada manfaatnya ialah menjual serangga kecil yang melata di bumi seperti kumbang, ular, kala jengking, tikus dan semut. Syara' tidak memandang sebagai ada manfaat pada serangga-serangga tersebut.
.
Begitu juga tidak sah diperjualbelikan setiap binatang buas seperti singa, serigala atau burung yang tidak boleh dimanfaatkan seperti burung rajawali dan burung gagak, iaitu binatang atau burungyang tidak boleh dimakan.
.
Walau bagaimanapun, binatang atau burung yang boleh dimanfaatkan adalah SAH diperjualbelikan seperti harimau bintang digunakan untuk memburu, gajah untuk berperang, monyet untuk memetik buah-buahan atau menjaga, lebah untuk diambil madunya, burung 'andalib (bulbul / murai) untuk berseronok-seronok dengan suaranya, burung merak untuk berseronok-seronok dengan bulunya dan lintah untuk menghisap darah orang sakit. (Mughni Al-Muhtaj 2/15-16 dan Kifayah Al-Akhyar 234-235)
.
Sumber : Fatwa Mufti Kerajaan 1999, hlm 45 - 50



TwO Of a kind?!! (",)

These twO 'pets' are regular
uninvited 'custOmers' which almOst everyday came tO 'visit' us... Jadi mOdel tia durang dua ani - Dang Tampoi & Wang 'Singa'....hahaha.....
Some other similar fellows also passby but not quite often, usually when they're searching for food or might be 'hunting' :)

mawardi 28092008 7.25am

Q & A Usul Fiqh [Ujian Ringkas 2002]

sample answers Ujian Ringkas Pre-U2 2002 - AL-HADITH
Al-Hadith adalah merupakan sumber hukum yang disepakati oleh para ulama’, dan mempunyai kedudukan yang utama selepas Al-Qur’an.

(1) Pengertian Hadith dalam Bahasa Melayu ;

Maa sodara anin-Nabiyi sallallahu alaihi wasallam ghair al-Qur'an, min Qaulin, au Fi'lin, au Taqririn, mimma laisa min al-umuri at-thobiiyati
{this should be read in Arabic words}

Ta’rif Hadith :-
Perkara yang datang daripada Nabi Muhammad s.a.w. selain daripada Al-Quran, baik yang berupa perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, selain daripada perkara-perkara semulajadi.


(2) Istilah "FI'LIN" yang terdapat dalam ta’rif Hadith.
Maksud perbuatan (FI'LIN) Nabi Muhammad s.a.w. dalam ta’rif Hadith ialah segala kelakuan atau gerak geri baginda yang menerangkan tentang hukum Islam secara global (terperinci), contohnya cara baginda berwudhu’, mengerjakan solat, Haji dan seumpamanya. Terbahagi kepada empat bahagian ;

(i) Perbuatan semulajadi (fitrah) – berjalan, makan, minum, tidur dsb. Perkara sebegini adalah harus diikuti oleh umat Islam.

(ii) Khususiah untuk baginda sahaja – kahwin lebih dari 4 isteri, nikah tanpa mahar, puasa wisal (bersambung pagi hingga ke malam) dsb. Perkara seumpama ini adalah haram diikuti oleh umat Islam.

(iii) Perbuatan baginda yang menjelaskan hukum-hukum yang terkandung dalam ayat Al-Quran khasnya yang bersifat umum – solat 5 waktu dan puasa seperti dalam ayat (Wa'aqiimussolah wa'aatuzzakah - Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat). Melalui sunnah baginda menunjukkan cara melakukan sembahyang 5 waktu dan cara mengeluarkan zakat. Begitu juga tentang larangan berzina seperti dalam ayat (Walaa taqrabuzzina - Dan janganlah kamu mendekati zina). Hukumnya adalah mengikut hukum yang jelas seperti yang ditegaskan dalam Al-Quran.

(iv) Perbuatan baginda selain dari perkara-perkara fitrah semulajadi, khususiah atau penerangan terhadap Al-Quran, tetapi dapat difahami hukum baru (ibtida’). Seperti sembahyang sunat gerhana, puasa hari Isnin dan Khamis dsb. Hukumnya adalah sunat (digalakkan) kerana mengikut jejak langkah Rasulullah s.a.w.


(3) Pembahagian Hadith menurut Jumhur Ulama’ & ta’rif bagi setiap pembahagian.

Jenis-jenis Hadith mengikut pembahagian Jumhur Ulama’ ada dua, iaitu :-
i – Hadith Mutawatir
ii – Hadith Khabar Ahad


Ta’rif Hadith :-

i – Hadith Mutawatir :-
Hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang sangat banyak jumlahnya yang mustahil mereka semua akan bersepakat untuk berdusta. Perawi yang besar jumlahnya ada pada setiap tabaqah (tingkatan perawi) mulai dari tingkatan Sahabat Rasulullah s.a.w., Tabi’in, Tabi’ Tabiin, Imam Mujtahidin dan seterusnya sampai tingkatan terakhir. Ada ulama berpendapat jumlah perawi hadith mutawatir itu paling kurang 40 orang dan ada pula menyatakan 70 orang.
Hadith mutawatir ini memahamkan hukum pasti (qat’ie), wajib diamalkan dan mereka yang megingkarinya dihukumkan murtad. Justeru itu, status mutawatir ini memberi jaminan bahawa hadith itu benar-benar sahih datang daripada Rasulullah s.a.w.


ii – Hadith Ahad :-
Hadith yang perawinya tidak sampai kepada bilangan mutawatir dan tidak melengkapi semua syarat-syarat hadith mutawatir.
Hadith Ahad ini memahamkan hukum zhan. Ia hanya wajib diamalkan dalam masalah-masalah syar’iyah saja bukan dalam masalah iqtiqadiah.


(d) Dalil naqli yang membuktikan Hadith adalah sumber hukum Islam :-

(i) Firman Allah (Surah an-Najm : 3 -4) ;
“Dan ia (Muhammad s.a.w.) tidak berkata-kata menurut hawa nafsu, sesungguhnya kata-kata itu adalah wahyu yang diwahyukan.”

(ii) Firman Allah (Surah al-Hasyr : 7) ;
“Dan apa-apa yang didatangkan oleh Rasul hendaklah kamu menerimanya dan apa-apa yang ditegah olehnya hendaklah kamu menjauhinya.”

(iii) Firman Allah (Surah an-Nisa’ :80)
“Dan barangsiapa yang taat kepada Rasul, nescaya ia taat kepada Allah.”

(iv) Firman Allah
“Dan Kami (Allah) telah menurunkan kepada engkau (Muhammad) Al-Quran supaya engkau dapat menerangkan kepada orang ramai apa-apa yang diturunkan kepada mereka.”

(v) Firman Allah (surah an-Nisa’ : 59)
“Jika kamu berselisih faham tentang sesuatu maka kembalikan kepada Allah dan RasulNya.”

(vi) Sabda Rasulullah s.a.w.
“Sesungguhnya aku diberi Al-Quran dan yang serupa dengannya iaitu Al-Hadith.”

(5) Tiga peranan Hadith dalam hubungkaitnya dengan Al-Quran :-

(a) Sunnah bersesuaian dan menguatkan hukum yang disebutkan dalam Al-Quran. Contohnya, Firman Allah s.w.t. (Surah an-Nisa’ : 29) ;
“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan cara yang batil.”

Ayat ini menjelaskan bahawa orang Islam tidak boleh mengambil, menggunakan dan memakan harta orang Islam yang lain secara batil (tidak sah). Dengan membaca ayat ini saja orang masih bertanya-tanya dalam hati apa cakupan erti perkataan ‘batil’ itu.

Kemudian hadith menjelaskannya dalam suatu bahasan yang mengandungi makna yang luas, tidak hanya tertuju kepada satu pekerjaan sahaja, seperti dalam hadith ;
“Tidak halal memakan harta seorang muslim kecuali dengan rasa senang hati dari si muslim yang bersangkutan.”
Kata-kata ‘dengan rasa senang hati dari si muslim yang bersangkutan’ mengandungi makna yang luas termasuk di dalamnya bermacam urusan, bila diterima oleh si muslim dengan senang hati.

(b) Hadith datang sebagai ‘bayan’ (penerangan) tentang apa yang dimaksudkan oleh Al-Quran. Ayat-ayat Al-Quran yang bersifat umum dijelaskan secara terperinci menerusi sunnah Rasullullah s.a.w.
Contohnya : Firman Allah s.w.t. (Surah al-Maidah : 38)
“Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri potonglah tangan keduanya.”
Ayat ini tidak menjelaskan lebih lanjut tentang tangan mana yang harus dipotong itu, apakah dari bahu, siku atau dari pergelangan tangan. Penjelasan dari ayat ini telah diterangkan oleh perbuatan Rasulullah sendiri yang memotong tangan pencuri pada pertengahan tangan. Jadi perbuatan Nabi itu (sunnah fi’liyah) merupakan penjelasan dan penerangan tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘tangan’ dalam ayat di atas.

(c) Sunnah menyatakan hukum yang tidak ada disebutkan dalam Al-Quran. Contoh, hadith Nabi yang menyatakan tentang air laut dan binatang laut ;
“Air laut itu suci dan binatang laut yang mati halal dimakan.”
Al-Quran tidak memberi petunjuk tantang masalah binatang laut yang mati itu, tetapi sunnah yang datang menjelaskannya.

Friday 26 September 2008

Q & A SPI - cetusan minda 2001

Assignment to Upper 6th students (1st intake Syariah 2000/2001)
check out d sample answers 4 u all to revise. . . 22 more days to go 4 ur Paper 1!!

PRE U2 – SYARIAH
SEJARAH PERUNDANGAN ISLAM
SESI CETUSAN MINDA (TUGASAN KULIAH I)
April 2001

[1] Terdapat perbezaan di antara tasyri’ sebelum hijrah dengan tasyri’ selepas hijrah. Bincangkan tasyri’ pada kedua-dua zaman tersebut dan jelaskan perbezaan di antara keduanya.{1999}


Rangka Jawapan ;

TASYRI’ (PERUNDANGAN) – jalan yang lurus atau saluran air yang mengalir.
· Segala hukum-hukum (syariat) yang diperundangkan Allah ke atas hambaNya supaya mereka beriman kepadaNya yang boleh membawa kebahagiaan baik di dunia dan di akhirat.
· Mengatur dan menyusun undang-undang yang berhubung dengan hukum-hukum perbuatan orang mukallaf, masalah-masalah serta peristiwa-peristiwa yang terjadi kepada mereka.

(i) Tasyri’ sebelum hijrah ialah peringkat perundangan Rasulullah semasa di Mekah.
· 12 tahun beberapa bulan.
· Orang-orang Islam belum begitu ramai dan masih golongan yang lemah.
· Umat Islam dikala itu belum menjadi satu bangsa dan tiada urusan kenegaraan.
· Tiada lapangan dan keperluan dalam menyusun perundangan.
· Perjuangan Rasulullah lebih kepada menyebarkan da’wah tauhid kepada Allah.
· Kebanyakan ayat-ayat yang diturunkan di Mekah pendek-pendek (yang dikenali juga dengan AYAT MAKKIYAH) seperti Surah Yunus, al-Ra’du, Yassin, al-Falaq, an-Naas, al-Ikhlas, dsb.
· Sebilangan ayat dimulai dengan perkataan "Wahai orang-orang yang beriman....."

(ii) Tasyri’ selepas hijrah ialah peringkat perundangan Rasulullah semasa di Madinah.
· lebih kurang 10 tahun.
· Umat Islam bertambah kuat dan penganutnya semakin ramai.
· Merupakan satu bangsa yang mempunyai urusan-urusan sesebuah negara.
· Timbulnya keperluan untuk mengatur perundangan.
· Tersusun undang-undang perkahwinan, perceraian, harta pusaka, hutang-piutang, hukum-hukum hudud, qisas dsb.
· Kebanyakan ayat-ayat yang diturunkan di Madinah (yang juga dikenali sebagai AYAT MADANIYAH) agak panjang seperti Surah al-Baqarah, ali Imran, an-Nisa’, al-Maidah, an-Nahl, al-A'raaf, dsb.
· Sebilangan ayat dimulai dengan perkataan "Wahai manusia...." & "Wahai anak Adam...."

Perbezaan di antara kedua-dua tahap tasyri’ ialah ;
Ø Dari segi masa - lebih kurang 12 thn di Mekah & kira-kira 10 tahun di Madinah
Ø Dari segi bilangan penganut agama Islam - kuantiti umat Islam
Ø Dari segi bentuk perundangan -penyebaran dakwah Rasulullah
Ø Dari segi ayat-ayat yang diturunkan - pendek & panjang
Ø Dari segi isi kandungan ayat-ayat yang diturunkan
Ø Dari segi perbezaan sebilangan permulaan ayat yang diturunkan
Ø Dari segi pembangunan umat Islam (urusan kenegaraan dan pembentukan umat Islam)
* * * * * * * * * *

[2] ‘Jimat dalam perundangan serta meringankan dan memudahkan’ adalah dua daripada dasar-dasar dalam perundangan Islam.
Huraikan kenyataan di atas berserta contoh. {1997}

Rangka Jawapan ;

Jimat dalam perundangan.

& Hukum-hukum yang telah diperundangkan oleh Allah dan RasulNya sekadar memenuhi keperluan sesuai dengan kes-kes dan kejadian-kejadian yang berlaku.

& Bertujuan untuk memenuhi keperluan orang ramai dan menjaga kepentingan kemaslahatan umum.

& Konsep asal setiap sesuatu hukumnya adalah harus (halal) – tidak ditegah.

& Jadi setiap perkara yang belum ada undang-undang dan nasnya, maka hukumnya dikekalkan iaitu mubah atau harus.

& Ertinya seandainya tidak timbul persoalan dari para Sahabat Rasulullah ataupun umat Islam yang lain tentang sesuatu peristiwa, maka tidak ada hukum yang lain bagi peristiwa tersebut (hukumnya masih sama seperti yang asal).

& Contohnya; tentang hukum mengeluarkan zakat. Seperti yang dimaklumi, terdapat dua jenis zakat iaitu zakat harta dan zakat fitrah. Kedua-dua zakat tersebut adalah diwajibkan ke atas seorang muslim yang mukallaf, maka apabila telah tetap hukumnya itu, tidak ada lagi hukum lain yang diturunkan samaada untuk menambah, menggantikan atau memansukhkan ayat-ayat asal bagi hukum zakat ini. Jadi, dalam konteks ini, konsep berjimat-jimat dalam mengatur undang-undang sesuai dengan penerimaan dan daya upaya umat manusia khasnya adalah diutamakan daripada membebankan mereka dengan sesuatu perkara yang berat untuk ditunaikan selaras dengan falsafah ‘agama Islam itu mudah’.


Meringankan dan memudahkan.

& Hukum-hukum yang telah diperundangkan oleh Allah dan RasulNya adalah mudah dan ringan sesuai dengan kemampuan dan penerimaan umat Islam terhadap apa yang diperintahkanNya.

& Firman Allah (Surah al-Baqarah : 185) :
“Allah menghendaki kesenangan kepada kamu dan Dia tidak menghendaki kesusahan kepada kamu.”

& FirmanNya lagi (Surah an-Nisa’ : 28) :
“Allah ingin untuk menyenangkan kamu dan dijadikan manusia itu lemah (dhaif).”

& Contohnya ; Hadith Rasulullah s.a.w. ;
“Kalau tidak kerana dibimbangi menjadi keberatan kepada umatku nescaya ku perintahkan mereka bersugi setiap kali hendak sembahyang.”

& Contoh-contoh lain :

Æ Kebolehan menggunakan tayammum menggantikan wudhu’ apabila terdapat keuzuran, seperti sakit, alahan (allergic) kepada air akibat luka pada badan, ketiadaan air dsb.

Æ Keharusan memakan bangkai di masa darurat dan minum arak di masa terlalu dahaga, namun dalam kadar menyihatkan tubuh badan untuk membolehkan beribadat.

Æ Secara globalnya, lebih mirip kepada konsep rukhsah dengan adanya sebab musabab yang dibolehkan dan munasabah.

* * * * * * * * * *

[3] Penggunaan Ijtihad sebagai sumber hukum tidak berlaku dengan meluas di zaman Rasulullah s.a.w. Bincangkan sebab-sebab berlakunya sedemikian. {1993}

Rangka Jawapan ;

IJTIHAD dari segi bahasa :- mengerjakan sesuatu dengan segala kesungguhan.
dari segi istilah :- menggunakan seluruh kesanggupan untuk menetapkan hukum-hukum syari’at.
- Mencurahkan tenaga sebanyak-banyaknya untuk mendapatkan hukum syara’ yang amali dengan cara istinbat daripada sumber-sumber syara’.

Dalil ijtihad : Firman Allah (Surah an-Nisa’ : 59) :
“.....Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalilah kepada Allah dan RasulNya.”

Sabda Rasulullah s.a.w. :
“Sesiapa yang berijtihad lalu menepati dengan kebenaran maka dia mendapat dua pahala dan sesiapa yang tersalah maka dia mendapat satu pahala.”

Hukum Ijtihad ---> 1. Wajib ‘Ain 2. Wajib Kifayah 3. Sunat 4. Haram

Di zaman Rasulullah s.a.w. baginda sendiri yang memegang kuatkuasa perundangan Islam. Sungguhpun begitu, baginda tidak melarang para Sahabat untuk menggunakan ijtihad mereka sendiri terutama apabila mereka (para Sahabat) tidak mendapati sebarang hukum di dalam nas-nas Al-Quran dan Al-Hadith. Jadi, masalah-masalah ijtihad para Sahabat hanyalah berkisar tiap-tiap hukum syara’ yang tidak ada dalilnya pasti dalam nas Al-Quran atau Hadith. Ini bererti hukum akal, ilmu kalam dan tauhid (perihal ketuhanan) tidak boleh diijtihadkan.

Di antara lain, sebab-sebab tidak meluasnya ijtihad di zaman Rasulullah ialah ;

O Rasulullah s.a.w. yang menjadi ketua perundangan di zaman baginda.

O Setiap peritiwa atau perkara yang berlaku, para Sahabat akan menemui baginda dan terus mendapatkan hukumnya dari baginda.

O Majoriti para Sahabat menghafal Al-Quran melalui Rasulullah, jadi ijtihad tidak diperlukan kerana dikhuatiri akan menyebabkan percampuran fatwa dan sumber hukum Islam.

O Peristiwa-peristiwa dan perkara yang berlaku semasa zaman Rasulullah tidaklah melampaui dari apa yang telah ditetapkan dalam sumber hukum Islam, kerana pada masa itu, golongan umat Islam baru sahaja membangun menjadi satu bangsa dan umat yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Zaman Rasulullah

1. Nas-nas hukum al-Quran dan al-Hadith – undang-undang yang lengkap, dan tidak semua orang khasnya dari kalangan para Sahabat yang dapat memahaminya dengan baik (walaupun kebanyakan mereka berbangsa Arab!!).
2. Undang-undang tersebut belum tersebar luas kepada umat Islam kerana kebanyakannya ditulis pada lembaran-lembaran, pelepah-pelepah tamar (kurma), dinding-dinding batu dan disimpan di rumah Nabi dan sahabat-sahabat baginda.
3. Hukum-hukum yang timbul – hanya berhubung dengan kejadian dan peristiwa di zaman tersebut sahaja.

* * * * * * * * * *


[4] Perundangan di zaman Sahabat adalah merupakan zaman pentafsiran hukum-hukum Islam dan istinbat. Terangkan sebab-sebab perbezaan di kalangan para Sahabat dalam mentafsirkan dan mengeluarkan hukum. {1993}


Rangka Jawapan ;


Zaman Sahabat

M 11 H – 100 H (memikul tugas perundangan)

M Menerangkan umat Islam segala nas-nas hukum di dalam Al-Quran dan Hadith yang perlu kepada pentafsiran dan penjelasan.

M Punca perundangan --> 1. Al-Quran 2. Hadith 3. Ijtihad Sahabat (dan Ijma' pada awal zaman Sahabat)

M Para Sahabat yang terkenal memberikan fatwa – lebih kurang 130 orang.

M Di antaranya ialah ;

1. Di Madinah :- Zaid bin Thabit, Abdullah bin Umar, Aisyah, Ubai bin Ka’ab
2. Di Mekah :- Abdullah bin Abas
3. Di Kufah :- Ali bin Abi Talib dan Abdullah bin Masoud
4. Di Basrah :- Anas bin Malik dan Abu Musa al-Asyaari
5. Di Syam :- Mu’az bin Jabal dan Ubaddah bin al-Samit
6. Di Mesir :- Abdullah bin Amru bin al-‘Aas

M Di antara faktor yang menyebabkan perbezaan pendapat Sahabat dalam mengeluarkan hukum (istinbat)* ;

1. Lama masa persahabatan dengan Rasulullah s.a.w.
2. Kelebihan menghafaz Al-Quran dan Hadith Rasulullah.
3. Menyaksikan asbabun Nuzul (Al-Qur'an) dan asbabul wurud (Hadith).
4. Jarak jauh tempat tinggal yang berasingan.
5. Pengaruh pemikiran dan kebudayaan setempat di mana mereka menetap.
6. Aliran cara mereka berfikir dan menggunakan keupayaan memahami nas-nas.

* Istinbatmengeluarkan hukum-hukum dengan alasan fikiran dan berdasarkan nas-nas Al-Quran dan Hadith.

* * * * * * * * * *

[5] Bincangkan DUA sebab pesatnya perkembangan perundangan Islam dan kegiatan gerakan ijtihad pada zaman Imam-imam Mujtahidin.{1992}

Rangka Jawapan ;

1. Kerajaan Islam – meluas jajahan takluk dan kawasannya.
Sempadan negara Islam (sebelah timur) merebak hingga Tanah Besar Cina.
Sementara sempadan negara Islam (sebelah barat) menapak hingga ke negeri Spain.
Negeri-negeri Islam sangat memerlukan undang-undang untuk rujukan pemerintah dan pentadbiran. Juga fatwa-fatwa untuk rujukan panduan rakyat.
Dengan berpandukan nas-nas perundangan Ilahi, para ulama berusaha mengeluarkan hukum-hukum dengan mewujudkan hukum-hukum baru sesuai dengan kejadian-kejadian yang mungkin berlaku dan masalah-masalah andaian.
Perundangan Islam menjangkau seluruh keperluan dan kepentingan manusia.


2. Sumber-sumber perundanganAl-Quran dan al-Hadith telah ditulis dan dibukukan.
Begitu juga dengan fatwa-fatwa para Sahabat dan Tabi’in.
Panduan dalam fatwa para Sahabat dan Tabi’in serta buah fikiran mereka dalam mentafsirkan nas-nas hukum adalahs atu faktor kegiatan ahli-ahli ijtihad zaman itu dan kemajuan perundangan mereka.
Lantaran itu, mereka mengambil manfaat dari pendapat terdahulu dan mengembangkan akal fikiran mereka.


3. Umat Islam zaman itu – amat peka dan teliti dalam hal-ehwal ibadat, mu’amalat, akad dan kira bicara dsb.
Mereka sering bertanya dan meinta fatwa dari ahli ilmuwan Islam.
Ahli-ahli ijtihad di zaman itu tidak putus-putus di datangi samaada dari kalangan rakyat jelata maupun para pemerintah dan qadhi-qadhi.
Jadi kegiatan ijtihad berterusan.


4. Lahirnya tokoh-tokoh ahli perundangan yang berpotensi dan mempunyai keistimewaan tersendiri.
Mazhab-mazhab yang empat :- Maliki, Hanafi, Syafi’e dan Hanbali serta sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut mereka. Juga tokoh-tokoh ulama' & ilmuwan lain seperti al-Bukhari, al-Muslim, an-Nasa'ie, at-Tirmidzi, Abu Daud, Ibnu Majah, al-Hassan al-Asy'ariyah, Abu Mansur al-Maturidi, al-Ghazali, an-Nawawi, dan ramai lagi..... Mereka inilah yang telah mengembangluaskan empayar keilmuan Islam hingga ke seantero dunia bukan hanya dalam bidang keagamaan bahkan dalam bidang ilmu sains, falsafah, mantiq, matematik, geografi, sejarah, sosiologi, antropologi, astronomi dan banyak lagi.....

* * * * * * * * * *
mawardi 26092008 12.40am

Wednesday 24 September 2008

Puisi Ilham Minda 2

SYUKRAN YA RABBI,
SYUKRAN WAHAI GURU KU
.
Dalam kesunyian malam ..... hening seketika .....
Bintang-bintang berkerlipan, bulan mengambang penuh
Hembusan angin sepoi-sepoi bahasa
Ayunan ombak menghempas pantai
Terduduk ku seketika mengenang fenomena alam
Semakin lama semakin bergema suasana
Alangkah indah ciptaan Mu Yang Esa

Betapa damai.... tenang..... aman..... harmoni.....
Sesekali terimbas kenangan silam
Alam persekolahan yang lama ku tinggalkan
Memori silam silih berganti ibarat mengopak sejarah
Pendidikan yang telah ku perolehi
Amat banyak tidak terkira..... Alhamdulillah
Ku bersyukur kepadaMu Ya Rabbi
Ku berterima kasih pada mu para guru
Yang masih bernafas maupun yang telah pergi
Yang telah mendidikku erti sebuah kehidupan
Yang mengajarku selok belok kemasyarakatan
Yang mencurahkan ilmu duniawi dan ukhrawi
Ilmu sekular dan ilmu agama..... seimbang......

Terlalu banyak pengorbanan tanpa mengenal erti lelah
Curahan ilmu tidak setanding harta, tidak jua emas permata
Moga-moga sejahtera setiap insan yang berjasa
Yang pernah bergelar guru.... yang masih bergelar guru
Yang pernah mengajar ku ilmu...... walau hanya satu
Ibarat sabda Rasulullah s.a.w.
Ballighu 'anni walau aayaah
“Ajarkanlah olehmu daripadaku walau hanya satu ayat.....”

Ku sentiasa berpegang pada jalan Mu
Berbekalkan aqidah yang jitu..... akhlak mahmudah yang Kau redhai
Bersandarkan Kitabullah dan Sunnah Rasulullah
Berpandukan ajaran para ulama’ dan para ilmuwan
Dan para jasawan terutama guru ku
Dari semenjak alam tadika hingga ke menara gading
Tidak dilupa kedua orang tua ku
Pada ayah yang ku hormati.... ku sanjungi....
Pada ibu yang ku sayangi.... walau telah pergi....
Menemui Mu Ilahi sekian lama......
Namun jasa dan pengorbanan keduanya tidak terhitung
Bak setinggi awan sedalam lautan

Kini...... tanpa ku sedari, usia ku menginjak lagi
Tiga dekad menghirup udara Mu..... Alhamdulillah
Engkau masih izinkan daku bernafas di bumi ciptaanMu
Bersama teman hidup yang Kau temukan untukku
Yang memang telah tertulis sejak azali
Ku bersyukur padaMu Ilahi
Tanpa rahmah, inayah dan maghfirahMu
Mungkin saja ku ‘hanyut’ dalam lautan tidak terperi
Dalam gelora alam percikan manusiawi
Dari cengkaman musuhMu yang Kau laknati
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalamiin.....
Syukran Ya Rabbi......
Syukran wahai guru ku.....

mawardi 23092008 11.30pm

Tuesday 23 September 2008

Puisi untuk insan bergelar GURU

BAKTIMU AMAT DIHARGAI
{ buat guru yang telah pergi}

Kehilanganmu
amat dirasai
kepergianmu
begitu mengharukan

Pun begitu
kami tetap mengenangkan
setiap detik dan ketika

Segala tunjuk ajarmu
akan kami jadikan
panduan
buat meniti hari depan

Walau di mana kau berada
jauh di perantauan
namun
kami akan senantiasa
mengingatimu

Guru.....
mudah-mudahan
engkau berada di dalam
perlindungan Tuhan
setiap masa.
Amin !!!

Hasil Nukilan; hrdy, BE2 1994 MDPMAMB

Sunday 21 September 2008

Aktiviti Ramadhan - Ziarah Kubur

Dari Buraidah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda,Dahulu aku melarang kamu berziarah ke kubur. Sekarang Muhammad mendapat keizinan untuk menziarahi kubur ibunya, maka ziarahilah kubur kerana ia mengingatkan akhirat.
[Hadith Riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tirmidzi]
.
more pics >>here
.
Daripada Abu Hurairah radiyallahu anhu, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda ;
Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedeqah jariah (waqaf), atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang mendoakannya (kedua ibu bapanya)."
[HR Muslim]
.
DOA ZIARAH KUBUR
"Selamat sejahtera untukmu, wahai penduduk kampung daripada orang-orang Mukmin dan Muslim. Sesungguhnya kami Insya Allah akan menyusulmu, kami mohon kepada Allah untuk kami dan kamu, agar diberi keselamatan (dari apa yang tidak diingini)."
.
Antara keistimewaan Islam ialah penghormatan yang diberikan kepada manusia, sepanjang hayatnya dan selepas matinya. Islam menganjurkan agar kita berakhlak dengan sebaik-baik akhlak dengan meneladani Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Ini termasuk mengucapkan salam kepada orang-orang yang sudah meninggal dunia. Walaupun secara fizikalnya mereka sudah tiada di atas muka bumi, namun sebenarnya kematian merupakan perjalanan ke alam akhirat.
.
Demikian juga digalakkan menziarahi perkuburan dari masa ke masa untuk mengambil pengajaran & iktibar. Perkara ini tidaklah sepatutnya dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja (seperti bulan Ramadhan & Syawal) kerana pada hakikatnya roh / arwah mereka masih lagi 'hidup' cuma dalam suasana yang berbeza.

ADAB MENZIARAHI PERKUBURAN

1. Hendaklah mengucapkan salam.

2. Berhati-hati agar tidak memijak kubur, sebabnya adalah haram hukumnya memijak kubur, melainkan apabila terpaksa.

3. Menziarahi dengan perasaan insaf & set in mind setiap kita akan kembali kepada Allah jua suatu ketika nanti.

4. Memakai pakaian yang menutup aurat, bersopan & bersesuaian.

5. Memohon keampunan Allah buat mereka yang telah kembali ke Rahmatullah.

6. Tidak digalakkan membaca sesuatu yang bertulis kerana ditakuti akan menyebabkan ditimpa lupa.

7. Haram memohon pertolongan daripada orang-orang yang telah meninggal dunia.

8. Haram memperindahkan kubur seseorang yang telah meninggal dunia lebih-lebih lagi dengan tujuan berbangga-bangga.

10. Diharuskan menanam tumbuh-tumbuhan di kubur seperti yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, iaitu meletakkan daun kurma yang masih hijau agar ia dapat mendoakan si mati.

11. Sunat membaca ayat-ayat Al-Qur'an seperti membaca Surah Yaasin & Surah al-Mulk, serta membacakan tahlil (walaupun sesetengah ulama' menghukumkannya bid'ah & haram), dan juga mendoakan kesejahteraan mereka yang telah kembali ke Rahmatullah terutama sekali kedua ibu bapa & kaum kerabat.

Thursday 18 September 2008

ILHAM ANUGERAH ILAHI

Keistimewaan lain Adi Putra
Oleh ZAMRI RAMBLI

Genius matematik dari Bagan Serai, Adi Putra Abdul Ghani berusia genap sembilan tahun hari ini.
SAYA pertama kali bertemu Adi Putra pada November 2005 di rumah datuknya di Tanjung Malim, Perak. Dalam pertemuan itu, Adi Putra telah menyelesaikan masalah darab matematik sepantas empat saat, sedangkan saya baru separuh jalan menekan punat nombor kalkulator. Adi baru berusia enam tahun ketika itu.

Saya juga terkejut dengan kepantasan Adi Putra mencongak, beberapa kiraan pendaraban yang lain seperti ribu dengan ribu, pengiraan isi padu silinder, pecahan dan perpuluhan di atas. Dalam diam, saya mengagumi kepintaran Adi Putra dan sekali sekala berasa diri saya kerdil di hadapannya.

Dua tahun kemudian, minggu ini, saya teruja lagi dengan pemilik wajah comel ini - Adi Putra dikatakan memiliki kelebihan lain selain matematik iaitu apa yang dipanggil deria keenam atau gerak hati.

Ahad lepas, Adi Putra berkunjung ke rumah keluarga Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang hilang di Taman Medan, Petaling Jaya, sejak 9 Januari lalu. Menurut Adi Putra, beliau sedang cuba mencari Sharlinie menggunakan 'caranya'.

Ketika lawatannya, Adi Putra turut memberikan formula berbentuk pil bagi menenangkan perasaan ibu dan bapa Sharlinie selain pergi ke padang tempat Sharlinie dilihat sebelum kehilangannya.

Kemudian, Adi Putra membawa sekumpulan anggota polis ke Ulu Yam, Gombak selepas mendapat petunjuk Sharlinie pernah berada di situ. Walaupun, kecewa kerana hanya mendapat jejak kosong, penemuan satu tulisan bertulis 'media' di atas tanah memang mengejutkan. Ia dikatakan ditulis oleh penculik terbabit yang marahkan pihak media.

Menurut bapanya, Abdul Ghani Abdul Wahid, 49, sebenarnya ini bukanlah bantuan pertama yang diberikan oleh Adi Putra berkaitan orang hilang.

'Pernah sekali seorang kanak-kanak dipercayai lemas sudah 18 hari tidak ditemui. Keluarganya datang pun untuk minta tolong kalau-kalau boleh diberi petunjuk walaupun hanya untuk dapatkan tulang anaknya.

'Kami turun sendiri ke kampung mangsa untuk mencari. Bayangkan kami mencari di sebatang sungai dari tengah malam sampai pukul 5 pagi. Kemudian Adi Putra ajak balik. Sekitar pukul 7 pagi, keluarga mangsa telefon memberitahu mereka sudah menemui mayatnya dan ia masih dalam keadaan baik,' cerita Abdul Ghani.

Akui beliau, Adi Putra tidak mahu menemui mayat mangsa secara terus kerana tidak suka mendabik dada. 'Adi Putra usahakan dan biarkan orang lain yang temui, jadi orang tidak terlalu mengaitkannya dengan Adi Putra,' katanya.

Dan Khamis lalu, saya berpeluang berbual santai dengan Adi Putra untuk menyelami kepintaran matematiknya dan bagaimana anak kecil ini melihat dunia. Saya juga ingin memahami sisi lain seorang Adi Putra.

Saya dibenarkan menemu bual Adi Putra secara bersendirian tanpa ditemani ibu bapanya - sesuatu yang jarang diperoleh media lain.

'KASIH ibu. Serihana Elias dan suami terus mencari formula terbaik untuk membesarkan anak genius mereka.'

Sepanjang temu bual itu, sambil mulutnya semakin lancar menjawab soalan saya (berbanding dua tahun lalu dia lebih pendiam), tangannya juga pantas menekan punat permainan video.

Dan sebelum saya pulang, Adi Putra sempat berpesan: 'Untuk abang, Adi nasihatkan baca Alam Nasyrah (surah al-Insyirah) setiap hari.

' Saya tanya kenapa surah itu? Jawab Adi: 'Untuk rezeki abang.'

Dan untuk kesekian kalinya, saya melihat keistimewaan Adi Putra dan ia sukar diterangkan.

Selebihnya, Adi Putra seperti kanak-kanak sebayanya - makan KFC, gemar menonton siri kartun Naruto, menunggang motosikal mini dan meminati penyanyi Adam AF2.

EKSTRA!:

Dari mana Adi Putra dapat ilham mencipta Sajak Akulah Adi Putra, Anak Merdeka?
ADI PUTRA: Maksudnya, masa Adi buat apa ya? Adi dapat sebelum tidur. Dalam pukul 3 atau 4 pagi. Macam mana boleh terfikir? Tak tahu, tiba-tiba terlintas dalam fikiran. Adi karang dan ambil masa dua hari.

Dalam sajak itu Adi mengajak bangsa kita bangunkan negara dengan bertemankan surah Yasin dan matematik. Kenapa surah Yasin dan matematik?
Sebab matematik itu tunjang ilmu dan Yasin pula untuk penerang hati. Adi baru berusia sembilan tahun tapi ada banyak maklumat yang Adi tahu selain matematik.

Dari mana Adi tahu semua itu? Adi membaca buku atau ada orang yang ajar?
Ilham. Datang tiba-tiba. Dan ia muncul tengah malam atau awal pagi. Contohnya, Adi fikir-fikir tentang benda tu, tiba-tiba ia datang. Apa yang Adi hajat, ia sampai dalam beberapa saat atau minit. Bukan datang dari mimpi.

Adi tidak ke sekolah sekarang. Apa yang Adi buat setiap hari?
Pagi-pagi lepas mandi, Adi biasanya suka main permainan video. Petang ada kelas tahfiz dan bahasa Inggeris. Lepas itu, Adi main badminton atau naik motosikal kecil.

Adi kata masa di sekolah dulu (Sekolah Islam Antarabangsa, Gombak) Adi macam 'kereta Ferrari yang dibawa seperti kereta kancil'. Sebab apa Adi kata macam tu?
Otak Adi ni, diibaratnya macam kereta Ferrari. Tetapi dibuatnya macam budak darjah satu. Maka rosaklah otak Adi. Dekat Malaysia ni bukannya ada orang yang boleh repair otak Adi. Perumpamaan tu memang Adi terfikir macam tu jelah.

Adi banyak cipta formula matematik, apa lagi formula yang Adi nak cipta selepas ini?
200 lebih (formula matematik) sudah ada sekarang. Insya-Allah kalau ada lagi yang terbaru Adi akan tambah.

Apa yang ingin Adi cipta bila besar nanti?
Insya-Allah Adi akan cipta dua jenis satelit. Satu satelit angkasa dan dua satelit bumi untuk negara-negara Islam sahaja dengan menggunakan password al-Quran. Satu kita guna alif, dua kita gunakan ba, tiga kita gunakan ta.

Kenapa Adi suka cipta formula pada waktu tengah malam?
Ilham datang waktu itu.

Apa permainan komputer dan video kesukaan Adi?
Counter Strike, game tembak-tembak... Ada juga main game Meet the Robinsons.
.
Bila besar Adi nak jadi apa?
Adi nak jadi profesor matematik Islam.

Adi tahu Adi terkenal sekarang?
Tahu juga. Adi tahu sebab ada orang tegur, baca paper dan tengok TV. Tapi paling banyak orang tegur la. Yang tegur ada tua dan muda.

Adi selalu jumpa bermacam-macam orang termasuk menteri dan sultan. Adi tak takut jumpa mereka?
Tak sangat. Perasaan biasa saja. Tidak ada apa-apa yang Adi fikirkan. Biasa sahaja.

Ketika beri ceramah pada orang ramai masa seminar, Adi tak rasa gementar?
Tak gementar. Adi bagi seminar matematik untuk pelajar, guru dan usahawan.

Apa yang Adi Putra tahu tentang Sharlinie?Kenapa Adi nak tolong cari Sharlinie?
Sebabkan polis minta. Tapi mula-mula Adi baca surat khabar. Adi bagi tahu ayah, Adi hendak tolong.

Apa yang Adi nampak masa pergi rumah Sharlinie?
Adi nampak (Sharlinie). Tapi tak tahu lokasi betulnya. Adi fikir pasal dia, Adi doa dan tiba-tiba Adi terlintas (dalam hati).

Masa tu Sharlinie tak buat apa-apa. Adi tahu di mana Sharlinie sekarang?
(Adi diam. Dia terus bermain permainan video)

Ketika ke Ulu Yam bersama polis tempoh hari, Adi yakin Sharlinie pernah dibawa ke situ?
Tak tahu, tapi memang tempat tu yang terlintas di fikiran Adi.

Bagaimana Adi tahu? Adi ada dengar suara bisikan, nampak sesuatu atau ia tiba-tiba ada dalam hati?
Memang terfikir begitu. Perkara itu memang datang dalam fikiran. Macam ada benda juga yang bagi tahu dekat Adi.

Semasa memberi ubat pada ibu Sharlinie supaya dia berasa lebih tenang, apa yang Adi baca?
Adi dah buat air tu yang dibacakan dengan doa.

Doa apa?
Maaf, tak boleh Adi bagi tahu.

Adi boleh baca apa yang ada dalam fikiran orang?
Boleh juga. Melalui gerak hati Adi. Tengok badan orang tu, Adi boleh baca. Adi boleh terlintas (dalam hati) kalau ada orang datang dengan niat tak baik. Adi tetap salam, jangan bersikap sombong. Cuma Adi berdoa pada Allah agar dia tak buat benda jahat.

Adakah letih menjadi seorang genius?
Tak letih dengan matematik, cuma letih selalu layan ramai orang. Tapi Adi syukur pada Allah.

Apa ucapan untuk ibu dan ayah?
Semoga panjang umur. Terima kasih sebab jaga Adi.

Sudah berapa banyak Adi hafal al-Quran?
Adi baru belajar tahfiz - Adi belajar mengaji dan hafaz sekali. Adi dah hafal lebih kurang 11 hingga 12 ayat dari surah al-Baqarah.
>>
forwarded email (August 27, 2008)

mawardi 19092008 10.45am

The Author of Pena Ilham Minda

My photo
Kuala Belait, Brunei
Life has to go on... Life must be fulfilled with as many knowledge and skills as we can... And our life shall always be under the judgement of the Almighty, the One and Only, Allah subhanahu wata'ala and with the guidance of His prophet, Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam...