Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Saturday 6 September 2008

FARAIDH (PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA)

ILMU FARAIDH merupakan salah satu cabang ilmu agama Islam yang penting dan sangat digalakkan supaya dipelajari serta mengajarkannya kepada orang lain khususnya umat Islam sendiri.

Dalam sebuah hadith Rasulullah sallalahu alaihi wasallam, baginda pernah bersabda ;
Hendaklah kamu mempelajari ilmu faraidh dan kamu ajarkan pula kepada orang lain. Sesungguhnya aku adalah orang yang berada dalam genggaman Allah subhanahu wata'ala (akan diambil nyawaku) dan ilmu faraidh itu juga akan dicabut atau diangkat sama. Kelak akan timbul huru-hara dan fitnah sehingga dua orang lelaki bertengkar dan berselisih dalam masalah faraidh (pembahagian harta pusaka), kedua-duanya itu tidak menemui orang yang mampu dan boleh menghukumkan atau menyelesaikan perselisihan di antara keduanya.
[Hadith Riwayat Ibnu Majah]
.
Beberapa Ta'rif Ilmu Faraidh
.
1. Kadar sesuatu yang telah ditentukan oleh syara' kepada ahli waris dan pewaris.
.
2. Kaedah hisab (hitung / kira2) untuk mengetahui bahagian2 setiap waris daripada harta peninggalan simati.
.
3. Suatu ilmu yang dapat mengetahui tentang orang yang berhak menerima pusaka atau orang yang tidak berhak menerimanya serta kadar dan jumlah yang patut diterima oleh ahli waris dan cara pembahagiannya.
.
4. Beberapa kaedah yang diambil daripada ilmu fiqh dan ilmu kira-kira (matematik) yang dapat mengetahui ketentuan pembahagian terhadap mereka yang berhak menerima pusaka daripada ahli waris daripada harta yang ditinggalkan oleh simati.
.
5. Ilmu Fiqh al-Mawarith dan Ilmu Hisab, iaitu satu bidang ilmu untuk mengetahui bahagian yang telah ditentukan kepada setiap orang yang telah ditentukan daripada peninggalan simati.
* * * * *
Mirath
Hak-hak yang diperolehi yang ditentukan kepada mereka yang berhak selepas kematian seseorang dengan sebab ada pertalian darah / keturunan, kerabat (i.e. ibu bapa kandung, anak-anak kandung sama ada lelaki / perempuan, saudara lelaki atau perempuan - seibu sebapa / sebapa / seibu, datuk nenek dsb) atau perkahwinan (i.e. suami dan / atau isteri) atau sebab pemilikan hamba.
* * * * *
Tirkah
Semua harta benda atau sesuatu yang ditinggalkan oleh simati (orang yang telah disahkan meninggal dunia) selepas kematiannya, yang terdiri daripada harta yang boleh dipindahkan seperti matawang, emas, perak, kereta, perabot dsb, dan juga harta yang tidak boleh dipindahkan seperti rumah, tanah, sawah, ladang dsb.
{A-Level 2002, #5}
.
Dalam hal pembahagian harta pusaka ini telah dijelaskan oleh Allah subhanahu wata'ala dalam Surah an-Nisaa', ayat 11 - 12 yang mafhumnya;
.
"Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu. Iaitu, bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga (2/3) dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka ia memperoleh separuh (1/2) harta. Dan untuk dua orang ibu bapa, bagi masing-masingnya seperenam (1/6) dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak. Jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu bapanya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga (1/3). Jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam (1/6). (Pembahagian-pembahagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."
.
"Dan bagimu (suami-suami) seperdua (1/2) dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat (1/4) dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. Para isteri memperolehi seperempat (1/4) harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperolehi seperlapan (1/8) dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu) atau seorang saudara perempuan (seibu), maka bagi masing-masing dari kedua-dua jenis saudara itu seperenam (1/6) harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu, lebih dari seorang, maka mereka bersekutu (berkongsi) dalam yang sepertiga (1/3) itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syariat yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun."
.
Penetapan hukum pembahagian harta pusaka yang telah termaktub dalam Kitabullah ini amatlah unik jika kita renung & hayati implikasinya, betapa indah teratur & tersusun dgn kadar yg diberikanNya. Asas-asas hukum warisan ini telah didahulukan dgn pernyataan Allah dalam Surah an-Nisaa', ayat 7 - 10 yang mafhumnya;
.
"Bagi orang lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan."
.
"Dan apabila sewaktu pembahagian itu hadir kerabat, anak yatim dan orang miskin, maka berilah mereka dari harta itu (sekadarnya) dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik."
.
"Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar."
.
"Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka)."
*
Seterusnya, Allah telah menyimpulkan / merumuskan hal ehwal pembahagian pusaka melalui FirmanNya dalam Surah yang sama, Surah an-Nisaa', ayat 13 - 14 yang mafhumnya;
.
"(Hukum-hukum tersebut) itu adalah ketentuan-ketentuan dari Allah. Sesiapa taat kepada Allah dan RasulNya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya, dan itulah kemenangan yang besar."
.
"Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya dan melanggar ketentuan-ketentuanNya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya, dan baginya seksa yang menghinakan."
.
Bayangkan & fikirkanlah sejenak setelah anda membaca Kalamullah tadi, begitu unik & 'kreatif' ciptaan Yang Maha Esa yang sememangnya tidak dapat dijangkau oleh pemikiran kita selaku insan makhlukNya yang cuma mempunyai segelumit ilmu. Sedangkan Kalamullah tersebut telahpun diturunkan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam Habibillah sejak lebih 1400 kurun yang lampau, dan impaknya - hukum faraidh ini masih valid hingga hari ini bahkan sampai hari qiamat kelak, Subhanallah. Begitu besar & agungnya ilmu Allah Rabbul 'Alamiin. Sementara mana-mana ahli waris yang tidak tercatat dalam Kitabullah, telah diterangkan dgn jelas melalui Ijtihad Rasulullah sallallahu alaihi wasallam (As-Sunnah / Al-Hadith) dgn berpandukan Kitabullah (Al-Qur'an). Cuma sebahagian kecil sahaja hukum yg diistinbatkan melalui Ijma' para ulama'.
.
Hukum mempelajari Ilmu Faraidh
.
Para Jumhur Ulama' telah berpendapat bahawa hukum mempelajari Ilmu Faraidh & Ilmu Mirath adalah Fardhu Kifayah, iaitu kewajipan secara umum (kolektif) terhadap segolongan umat Islam sebagai mewakili seluruh umat Islam lain dalam sesebuah daerah atau negeri untuk menyelesaikan permasalahan / kemusykilan yang timbul. Seandainya tidak ada seorang pun yang sanggup belajar atau tiada yang mampu memahami ilmu ini dengan sebaiknya, maka seluruh umat Islam di kawasan terbabit akan berdosa.
.
Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ;
Hendaklah kamu mempelajari ilmu faraidh, kerana sesungguhnya mempelajari ilmu faraidh itu adalah suruhan agama Islam dan kerana ilmu faraidh itu merupakan setengah daripada ilmu dan ilmu faraidh jugalah yang mula-mula dicabut daripada pengetahuan umatku.
[Hadith Riwayat Ahmad]
.
Dalam sebuah hadith Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yg lain pula ;
Hendaklah kamu mempelajari Al-Qur'an dan kamu ajarkan pula kepada orang lain, dan hendaklah juga kamu mempelajari ilmu faraidh dan kamu ajarkan pula kepada orang lain. Sesungguhnya nyawaku berada dalam genggaman Allah subhanahu wata'ala dan akan diambil dan ilmu faraidh juga akan diangkat atau dicabut oleh Allah, serta hampir berselisih dan bertelingkah antara dua orang mengenai faraidh dan pembahagian pusaka, maka kedua-duanya tidak menemui dan tidak memperolehi seseorang pun yang dapat menjelaskan dan menyelesaikan kepada mereka berdua.
[Hadith Riwayat al-Hakim]
.
Tujuan / Matlamat / Objektif mempelajari Ilmu Faraidh
.
1. Menunjukkan keistimewan & keadilan dalam sistem perundangan Islam, disamping membezakannya dengan perundangan sivil.
.
2. Mengetahui kesempurnaan hukum-hukum Islam.
.
3. Mengetahui bahagian-bahagian setiap pewaris daripada harta peninggalan simati.
.
4. Menjalinkan hubungan silaturrahim antara sesama ahli waris daripada terputus akibat perebutan harta tanpa mengetahui hak masing-masing.
.
5. Jaminan sosio-ekonomi khusunya dalam keluarga dan masyarakat.
.
6. Fitrah / lumrah semulajadi manusia mencintai dan memerlukan harta dalam kehidupan seharian. Sebagaimana Firman Allah (Surah al-Kahfi, ayat 46) ;
"Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya disisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan."
.
7. Menggembirakan hati orang yang masih hidup, dalam ertikata pembahagian harta pusaka simati dikongsi bersama dgn ahli waris agar harta tersebut dapat diinfakkan dgn jalan yang diredhai Allah. Firman Allah (Surah ali Imran, ayat 14);
"Dijadikan indah pada (pandangan manusia) kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan disisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)."
.
8. Menyalurkan harta simati kepada orang yang berhak khususnya ahli waris, dan mengelakkan daripada berlakunya pertelingkahan, persengketaan, permusuhan antara sesama ahli waris dalam hal pembahagian harta pusaka.
.
9. Mengurangkan bebanan penjaga terhadap mereka yang masih di bawah tanggungan.

No comments:

The Author of Pena Ilham Minda

My photo
Kuala Belait, Brunei
Life has to go on... Life must be fulfilled with as many knowledge and skills as we can... And our life shall always be under the judgement of the Almighty, the One and Only, Allah subhanahu wata'ala and with the guidance of His prophet, Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam...