Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Monday 15 September 2008

HADITH-HADITH BERKAITAN IBADAH PUASA

Makan Sahur

Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a. ;
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Makan sahurlah kalian kerana sesungguhnya makan sahur itu berkat.” [Hadith Riwayat al-Bukhari]

Segerakan Berbuka

Diriwayatkan dari Sahal bin Saad ; Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda, “Manusia (umat Islam) masih dalam keadaan baik selama mentakjilkan (menyegerakan) berbuka.” [Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Berbuka Dengan Kurma atau Air

Diriwayatkan dari Anas r.a., ia berkata ; “Rasulullah s.a.w. berbuka dengan makan beberapa ruthaab (kurma basah) sebelum solat, kalau tidak ada maka dengan kurma kering, kalau tidak ada maka dengan meneguk air beberapa teguk.” [Hadith Riwayat Abu Daud dan al-Hakim]

Diriwayatkan dari Salman bin Amir, bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda, “Apabila salah seorang di antara kamu puasa hendaklah berbuka dengan kurma, bila tidak ada kurma hendaklah dengan air, sesungguhnya air itu bersih.” [Hadith Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi]

Makan Dulu Sebelum Solat

Diriwayatkan dari Anas r.a., ia berkata, Telah bersabda Rasulullah s.a.w., “Apabila makan malam telah disediakan, maka mulailah makan sebelum solat Maghrib, janganlah mendahulukan solat daripada makan malam itu (yang sudah terhidang).” [Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim]


Segerakan Berbuka, Lambatkan Sahur

Diriwayatkan dari Amru bin Maimun, ia berkata, “Adalah para sahabat Muhammad s.a.w. adalah orang yang paling menyegerakan berbuka dan melambatkan makan sahur.” [Hadith Riwayat al-Baihaqi]

Telah bersabda Rasulullah s.a.w. ; “Apabila salah seorang di antara kamu mendengar azan dan piring sudah di tangannya janglanlah diletakkan, hendaklah ia menyelesaikan hayatnya (makan / minum sahur) daripadanya.” [Hadith Riwayat Ahmad, Abu Daud & al-Hakim]

Diriwayatkan dari Abu Usman r.a. berkata ; “Solat telah diqamatkan, sedang segelas minuman masih di tangan Umar r.a., beliau bertanya, Apakah ini boleh saya minum wahai Rasulullah? Baginda menjawab, Ya. Lalu ia meminumnya.” [Hadith Riwayat Ibnu Jarir]
Banyakkan Bersedeqah, Membaca Al-Qur’an dan Qiamullail

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. berkata, “Adalah Rasulullah s.a.w. orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya, dan Jibril menemuinya pada setiap malam pada bulan Ramadhan untuk mentadaruskan baginda s.a.w. Al-Qur’an dan benar-benar Rasulullah s.a.w. lebih dermawan tentang kebajikan (cepat berbuat kebaikan) daripada angin yang dikirim.” [Hadith Riwayat al-Bukhari]

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. berkata, “Adalah Rasulullah s.a.w. menggalakkan qiamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, maka baginda bersabda, “Barangsiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala dari Allah s.w.t. maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.” [Hadith Riwayat Jama’ah]

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a., “Sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila memasuki sepuluh malam terakhir (bulan Ramadhan) beliau benar-benar menghidupkan malam (untuk beribadah) dengan membangunkan isterinya (agar beribadah) dengan mengencangkan ikatan sarungnya (tidak mengumpuli isterinya).” [Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Diriwayatkan dari Aisyah r.a. berkata, “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila bangun solat malam, beliau membuka solat dengan dua rakaat yang ringan, kemudian solat lapan rakat, kemudian solat witir.” [Hadith Riwayat Muslim]

Mencari Lailatulqadar

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Barangsiapa yang solat malam menepati lailatulqadar, maka diampuni dosanya yang telah lalu.” [Hadith Riwayat Jama’ah]

Diriwayatkan dari Aisyah r.a.. sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Berusahalah untuk mencari lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir.” [Hadith Riwayat Muslim]

Diriwayatkan dari Aisyah r.a. berkata, “Saya berkata kepada Rasulullah s.a.w. Ya Rasulullah, bagaimana pendapat tuan bila saya mengetahui lailatulqadar, apa yang saya harus baca pada malam itu? Baginda bersabda, Bacalah (ertinya) Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi ampun, Engkau suka kepada keampunan, maka ampunilah daku.” [Hadith Riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad]

Iktikaf di Masjid

Diriwayatkan dari Aisyah r.a. berkata, “Adalah Rasulullah s.a.w. mengamalkan iktikaf pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan sampai baginda diwafatkan oleh Allah azzawajalla.” [Hadith Riwayat al-Bukhari]

Menjaga Lidah

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., ia berkata, “Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda, “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan bohong dan amalan kebohongan, maka tidak ada bagi Allah hajat (untuk menerima) dalam hal ia meninggalkan makan dan minumnya.” [Hadith Riwayat Jama’ah kecuali Muslim]

Mengerjakan Umrah

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila datang bulan Ramadhan kerjakanlah umrah kerana umrah di dalamnya (bulan Ramadhan) setingkat dengan haji.” [Hadith Riwayat Muslim]
* Petikan majalah al-Islam, September2008/Ramadan1429H, hlm 42 - 43
mawardi 13092008-14092008

No comments:

The Author of Pena Ilham Minda

My photo
Kuala Belait, Brunei
Life has to go on... Life must be fulfilled with as many knowledge and skills as we can... And our life shall always be under the judgement of the Almighty, the One and Only, Allah subhanahu wata'ala and with the guidance of His prophet, Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam...