Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Saturday 27 September 2008

Q & A Usul Fiqh [Ujian Ringkas 2002]

sample answers Ujian Ringkas Pre-U2 2002 - AL-HADITH
Al-Hadith adalah merupakan sumber hukum yang disepakati oleh para ulama’, dan mempunyai kedudukan yang utama selepas Al-Qur’an.

(1) Pengertian Hadith dalam Bahasa Melayu ;

Maa sodara anin-Nabiyi sallallahu alaihi wasallam ghair al-Qur'an, min Qaulin, au Fi'lin, au Taqririn, mimma laisa min al-umuri at-thobiiyati
{this should be read in Arabic words}

Ta’rif Hadith :-
Perkara yang datang daripada Nabi Muhammad s.a.w. selain daripada Al-Quran, baik yang berupa perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, selain daripada perkara-perkara semulajadi.


(2) Istilah "FI'LIN" yang terdapat dalam ta’rif Hadith.
Maksud perbuatan (FI'LIN) Nabi Muhammad s.a.w. dalam ta’rif Hadith ialah segala kelakuan atau gerak geri baginda yang menerangkan tentang hukum Islam secara global (terperinci), contohnya cara baginda berwudhu’, mengerjakan solat, Haji dan seumpamanya. Terbahagi kepada empat bahagian ;

(i) Perbuatan semulajadi (fitrah) – berjalan, makan, minum, tidur dsb. Perkara sebegini adalah harus diikuti oleh umat Islam.

(ii) Khususiah untuk baginda sahaja – kahwin lebih dari 4 isteri, nikah tanpa mahar, puasa wisal (bersambung pagi hingga ke malam) dsb. Perkara seumpama ini adalah haram diikuti oleh umat Islam.

(iii) Perbuatan baginda yang menjelaskan hukum-hukum yang terkandung dalam ayat Al-Quran khasnya yang bersifat umum – solat 5 waktu dan puasa seperti dalam ayat (Wa'aqiimussolah wa'aatuzzakah - Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat). Melalui sunnah baginda menunjukkan cara melakukan sembahyang 5 waktu dan cara mengeluarkan zakat. Begitu juga tentang larangan berzina seperti dalam ayat (Walaa taqrabuzzina - Dan janganlah kamu mendekati zina). Hukumnya adalah mengikut hukum yang jelas seperti yang ditegaskan dalam Al-Quran.

(iv) Perbuatan baginda selain dari perkara-perkara fitrah semulajadi, khususiah atau penerangan terhadap Al-Quran, tetapi dapat difahami hukum baru (ibtida’). Seperti sembahyang sunat gerhana, puasa hari Isnin dan Khamis dsb. Hukumnya adalah sunat (digalakkan) kerana mengikut jejak langkah Rasulullah s.a.w.


(3) Pembahagian Hadith menurut Jumhur Ulama’ & ta’rif bagi setiap pembahagian.

Jenis-jenis Hadith mengikut pembahagian Jumhur Ulama’ ada dua, iaitu :-
i – Hadith Mutawatir
ii – Hadith Khabar Ahad


Ta’rif Hadith :-

i – Hadith Mutawatir :-
Hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang sangat banyak jumlahnya yang mustahil mereka semua akan bersepakat untuk berdusta. Perawi yang besar jumlahnya ada pada setiap tabaqah (tingkatan perawi) mulai dari tingkatan Sahabat Rasulullah s.a.w., Tabi’in, Tabi’ Tabiin, Imam Mujtahidin dan seterusnya sampai tingkatan terakhir. Ada ulama berpendapat jumlah perawi hadith mutawatir itu paling kurang 40 orang dan ada pula menyatakan 70 orang.
Hadith mutawatir ini memahamkan hukum pasti (qat’ie), wajib diamalkan dan mereka yang megingkarinya dihukumkan murtad. Justeru itu, status mutawatir ini memberi jaminan bahawa hadith itu benar-benar sahih datang daripada Rasulullah s.a.w.


ii – Hadith Ahad :-
Hadith yang perawinya tidak sampai kepada bilangan mutawatir dan tidak melengkapi semua syarat-syarat hadith mutawatir.
Hadith Ahad ini memahamkan hukum zhan. Ia hanya wajib diamalkan dalam masalah-masalah syar’iyah saja bukan dalam masalah iqtiqadiah.


(d) Dalil naqli yang membuktikan Hadith adalah sumber hukum Islam :-

(i) Firman Allah (Surah an-Najm : 3 -4) ;
“Dan ia (Muhammad s.a.w.) tidak berkata-kata menurut hawa nafsu, sesungguhnya kata-kata itu adalah wahyu yang diwahyukan.”

(ii) Firman Allah (Surah al-Hasyr : 7) ;
“Dan apa-apa yang didatangkan oleh Rasul hendaklah kamu menerimanya dan apa-apa yang ditegah olehnya hendaklah kamu menjauhinya.”

(iii) Firman Allah (Surah an-Nisa’ :80)
“Dan barangsiapa yang taat kepada Rasul, nescaya ia taat kepada Allah.”

(iv) Firman Allah
“Dan Kami (Allah) telah menurunkan kepada engkau (Muhammad) Al-Quran supaya engkau dapat menerangkan kepada orang ramai apa-apa yang diturunkan kepada mereka.”

(v) Firman Allah (surah an-Nisa’ : 59)
“Jika kamu berselisih faham tentang sesuatu maka kembalikan kepada Allah dan RasulNya.”

(vi) Sabda Rasulullah s.a.w.
“Sesungguhnya aku diberi Al-Quran dan yang serupa dengannya iaitu Al-Hadith.”

(5) Tiga peranan Hadith dalam hubungkaitnya dengan Al-Quran :-

(a) Sunnah bersesuaian dan menguatkan hukum yang disebutkan dalam Al-Quran. Contohnya, Firman Allah s.w.t. (Surah an-Nisa’ : 29) ;
“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan cara yang batil.”

Ayat ini menjelaskan bahawa orang Islam tidak boleh mengambil, menggunakan dan memakan harta orang Islam yang lain secara batil (tidak sah). Dengan membaca ayat ini saja orang masih bertanya-tanya dalam hati apa cakupan erti perkataan ‘batil’ itu.

Kemudian hadith menjelaskannya dalam suatu bahasan yang mengandungi makna yang luas, tidak hanya tertuju kepada satu pekerjaan sahaja, seperti dalam hadith ;
“Tidak halal memakan harta seorang muslim kecuali dengan rasa senang hati dari si muslim yang bersangkutan.”
Kata-kata ‘dengan rasa senang hati dari si muslim yang bersangkutan’ mengandungi makna yang luas termasuk di dalamnya bermacam urusan, bila diterima oleh si muslim dengan senang hati.

(b) Hadith datang sebagai ‘bayan’ (penerangan) tentang apa yang dimaksudkan oleh Al-Quran. Ayat-ayat Al-Quran yang bersifat umum dijelaskan secara terperinci menerusi sunnah Rasullullah s.a.w.
Contohnya : Firman Allah s.w.t. (Surah al-Maidah : 38)
“Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri potonglah tangan keduanya.”
Ayat ini tidak menjelaskan lebih lanjut tentang tangan mana yang harus dipotong itu, apakah dari bahu, siku atau dari pergelangan tangan. Penjelasan dari ayat ini telah diterangkan oleh perbuatan Rasulullah sendiri yang memotong tangan pencuri pada pertengahan tangan. Jadi perbuatan Nabi itu (sunnah fi’liyah) merupakan penjelasan dan penerangan tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘tangan’ dalam ayat di atas.

(c) Sunnah menyatakan hukum yang tidak ada disebutkan dalam Al-Quran. Contoh, hadith Nabi yang menyatakan tentang air laut dan binatang laut ;
“Air laut itu suci dan binatang laut yang mati halal dimakan.”
Al-Quran tidak memberi petunjuk tantang masalah binatang laut yang mati itu, tetapi sunnah yang datang menjelaskannya.

No comments:

The Author of Pena Ilham Minda

My photo
Kuala Belait, Brunei
Life has to go on... Life must be fulfilled with as many knowledge and skills as we can... And our life shall always be under the judgement of the Almighty, the One and Only, Allah subhanahu wata'ala and with the guidance of His prophet, Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam...